Diabetes
Pesakit perlu tahu paras gula dalam badan. Jika tahap diabetesnya sukar dikawal, memang disyorkan agar pesakit tidak berpuasa. Begitu juga sekiranya pesakit mengambil insulin dan mengandung.


Ubat yang digunakan perlu diselaraskan berdasarkan tahap kawalan. Sekiranya diabetes boleh dikawal, pengambilan ubat-ubatan mereka boleh diubah.


Misalnya, jika pesakit menggunakan ubat sulfonyurea yang akan meningkatkan penghasilan insulin, ia boleh digunakan hanya semasa berbuka puasa dan ditinggalkan semasa sahur.


Dari segi pemakanan, pesakit tidak boleh terlalu banyak lari daripada biasa. Maksudnya, tidak boleh mengambil terlalu banyak karbohidrat dan gula yang akan mendatangkan masalah jika ditukar secara mendadak.


Terdapat beberapa jenis penggunaan insulin iaitu yang bertindak cepat - disarankan semasa berbuka dan sahur, manakala insulin tindakan sederhana, pada waktu malam.
Ubat insulin yang diambil secara suntikan tidak membatalkan puasa kerana ia tidak dikira sebagai pemakanan tambahan dan tidak memberikan tenaga.



Darah tinggi
Sekiranya sukar dikawal darah pesakit dan terpaksa menggunakan dua tiga jenis ubat atau dua tiga dos bagi mengelakkan darah naik, mereka disarankan agar tidak berpuasa.


Mereka perlu memastikan tidak mengambil ubat yang menyebabkan banyak membuang air kecil kerana akan menyebabkan dehidrasi dan tekanan darah menurun.


Pesakit disyorkan meminum air yang mencukupi bagi memastikan hidrasi yang optimum.


Secara amnya, penggunaan air bagi setiap individu adalah dua liter sehari, bergantung juga kepada aktiviti masing-masing.



Gastrik, pedih hulu hati, hernia hiatus dan ulser peptik
Peningkatan asid di dalam perut yang kosong memburukkan keadaan yang ditandai dengan kepanasan perut di bawah tulang rusuk dan boleh berlanjutan sehingga ke kerongkong.


Paling penting, mereka disyorkan tidak memakan makanan berlemak, berminyak, bergoreng, berempah atau bercili serta minuman berkarbonat bagi mengelakkan penyakit menjadi semakin teruk


Terdapat ubat-ubatan untuk mengawal tahap asid dalam perut.


Bagi pesakit ulser peptik dan hernia hiatus terutamanya perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa.


Sesetengah masalah gastrik memang teruk dan boleh menyebabkan pendarahan. Jika tidak dibuat penilaian yang sepatutnya boleh membawa kepada kemudaratan semasa Ramadan.


Bahkan, ada antara pesakit gastrik tidak parah yang sembuh kerana berpuasa disebabkan cara makan yang lebih teratur dan sederhana di bulan Ramadan.



Migrain dan sakit kepala
Kekurangan air dan gula di dalam tubuh boleh memburukkan keadaan. Bagi mereka yang menghidap sakit kepala, mereka bukan sahaja perlu mengawal jumlah pengambilan makanan tetapi juga makanan atau minuman yang manis dan bergula.


Mereka juga tidak digalakkan mengambil minuman mengandungi kafeina termasuk kopi atau koko dan teh yang boleh menyebabkan ketagihan terutamanya pada waktu sahur. Pesakit boleh memperbanyakkan meminum air mati sebagai gantinya.


Kandungan air dalam badan atau hidrasi adalah penting bagi pesakit migrain yang boleh dikekalkan dengan cara meminum banyak air di antara waktu berbuka dan bersahur.



Batu karang
Sekali lagi, hidrasi penting bagi penyakit ini. Jika mereka membenarkan kekurangan air dalam badan, ia hanya akan menyebabkan perut yang memulas.


Sembelit
Gejala membuang air besar ini boleh membawa kepada buasir. Mereka perlu mengekalkan tahap hidrasi dengan meminum air mencukupi atau memakan makanan yang mengandungi lebih serat.



Wanita mengandung
Al-Quran tidak mengecualikan mereka daripada berpuasa kerana kehamilan bukan dikira suatu penyakit.


Namun, Rasulullah dalam sabdanya membenarkan mereka meninggalkan puasa jika ibu atau bayi dalam kandungan mengalami masalah kesihatan


Janin paling terdedah kepada bahaya terutama pada tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir kehamilan dan kekurangan zat-zat serta air boleh menjejaskan pertumbuhan dan kematangan bayi.

0 Comments