Assalamualaikum kengkawan...

hari ni tak sihat sangat lar...UHUK!UHUK!UHUK! (batuk ni). nak tulis dalam blog pun tak larat... so, i just drop down article from my friend ni (thanks akmal). Ok jugak kalau baca, panjang sikit jer... amik la pengajaran yang boleh...esspecially wanita/ gadis yang single macam wonders, kay and others (ye ke?) :D

[b]TINTA BUAT BAKAL SUAMIKU….[/b]

[i]Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah ku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang ku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang kujaga rapi selama ini buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang. Aku telah dididik sejak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu: “Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari kami”, jadi, kau telah wujud di dalam diriku sejak dulu lagi.

Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menhalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih bersifat ‘perumahan’ kerana rumah itu tempat terbaik bagi seorang wanita. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan kupalingkan wajahku dari lelaki yang asyik merenungku atau cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Saidatina Aisyah r.a “ Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandng dan tidak dipandang”.

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki, sedangkan aku hanya boleh jadi milikmu seorang. Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki, bahkan berasa hina diperlakukan begitu, seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Begaimana akanku jawab di hadapan Allah kelak, andai disoal. Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup ini di muka bumi ? Kalau aku tidak ingin kau memandang wanita lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi wanita baik. Bukankah Allah telah menjanjikan wanita yang baik untuk lelaki yang baik?

Tidak kunafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulin, bukan yang telah dibahagi-bahagikan. Diriku lemah ini sememangnya diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, berbagai-bagai dalil ku kemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ, dia sentiasa menghubungiku dan mengangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh kehidupanku yang ceria selama ini dirampas dariku. Aku tertanya-tanya, adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunanNya. Aku juga berdoa, agar Dia lindungi aku dari sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku. Dimana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Ku tahu, lelaki yang melamarku bukanlah dirimu. Malah ku yakin pada gerak hatiku, yang mengatakan lelaki itu bukan kau. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punya keinginan seperti gadis lain dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, yang akan memimpinku ke arah tuju yang satu, tidak perlu kau miliki wajah seindah Nabi Yusof a.s yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatkanku terpikat.

Andai kaulah jodoh yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku, jua hatimu, kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaan itu padaku, kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfa’kan seluruhnya mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri atau sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi, kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akanku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang kuimpikan. Cukuplah engkau mencintai Allah dengan seluruh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku keranaNya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita semula di syurga. Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibu bapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu akan mebuat kau dan aku lupa tanggunggjawab. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku...[/i]